Back to All News

Pengucapan awam mampu perkasa keyakinan diri - Joanne

05 Jul 2026·Community Enrichment·Berita Harian
Micfront Berita Harian.webp

KUALA LUMPUR: Acara pengucapan awam terbesar di negara ini yang menghimpunkan lebih 1,000 peserta anjuran Yayasan IOI dengan kerjasama MicFront Public Speaking (MicFront) mampu menjadi medium bagi memupuk keyakinan diri dan kepimpinan belia dengan pembabitan peserta pelbagai peringkat umur.

Penganjuran program ke arah mencipta sejarah untuk tersenarai dalam Malaysia Book of Records (MBOR) yang berakhir semalam, berjaya menarik kehadiran kira-kira 2,000 pengunjung.

Pengarah Eksekutif Yayasan IOI, Datin Joanne Wong, berkata pengucapan awam bukan sekadar satu kemahiran, malah menjadi laluan bagi membina keyakinan diri, medium ekspresi dan platform menyumbang kepada pembinaan negara.

Beliau berkata, dengan sokongan dan peluang yang tepat, setiap individu mampu mempelajari kemahiran untuk bersuara dan membawa perubahan positif dalam diri masing-masing.

"Kerjasama antara IOI Foundation dan MicFront ini bertujuan memperkasakan masyarakat daripada pelbagai peringkat usia untuk berani bersuara sambil meraikan kepelbagaian di negara ini," katanya pada majlis Pengucapan Awam Terbesar di Malaysia, semalam.

Turut hadir, pengasas bersama MicFront, Mas Mahathir dan Dr Jolynn Ch'ng serta Penolong Pengurus Besar pusat beli-belah IOI Damansara, Edmund Tan.

Sementara itu, Mas berkata, program itu menyediakan pentas secara berterusan kepada peserta untuk berucap, sekali gus menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia khususnya golongan muda, melihat pengucapan awam sebagai aset yang berguna dalam kehidupan.

Beliau berkata, inisiatif ini disifatkan sebagai usaha membina keyakinan diri dan memperkasa kepimpinan belia menerusi penyertaan pelbagai lapisan umur bermula seawal usia lima tahun.

"Peserta membabitkan orang awam dan wakil 17 cawangan MicFront di seluruh Lembah Klang menyampaikan ucapan bertemakan 'Let's Celebrate Malaysia' dengan mengetengahkan budaya, makanan, keindahan alam semula jadi dan wira kehidupan seharian di negara ini.

"Program ini bukan hanya memberi impak ketika acara berlangsung, tetapi membina keyakinan peserta untuk berani tampil bercakap di hadapan khalayak ramai selepas program berakhir.

"Setiap kanak-kanak yang berani berdiri di atas pentas untuk berucap walaupun dalam keadaan takut akan memperoleh keyakinan untuk melakukannya sekali lagi pada masa hadapan.

"Kami percaya impaknya bermula selepas acara. Setiap kanak-kanak jika mereka berdiri di atas pentas untuk bercakap walaupun sekali dan dalam keadaan mereka takut tetapi berikutnya mereka akan mempunyai keyakinan dan keupayaan untuk melakukannya lagi," katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/07/1583467/pengucapan-awam-mampu-perkasa-keyakinan-diri-joanne

Related News

Get in touch with us.

Contact Us